Saturday 23 April 2011

Kemahiran Mengeksperimen

12. Kemahiran Mengeksperimen

Takrif
          menyiasat iaitu merancang, memanipulasi pembolehubah dan menguji 
hipotesis untuk membuat keputusan


Mengeksperimen adalah aktiviti yang menggabungkan semua kemahiran proses sains.
Anda mengeksperimen dengan merancang penyiasatan, bermula dengan membina
hipotesis dan menyatakan pembolehubah yang dimanipulasi, bergerak balas dan malar.
Seterusnya anda merekabentuk kaedah mengumpul data, diikuti dengan pelaksanaan
mengumpul data, mentafsir maklumat, menerangkan hasil eksperimen dan membuat
kesimpulan atau keputusan.
Mengeksperimen tidak sama dengan menjalankan eksperimen kerana menjalankan
eksperimen bererti anda hanya melaksanakan langkah-langkah penyiasatan yang telah
disediakan kepada anda.

Hasil eksperimen disebarkan kepada umum melalui penulisan laporan amali. Maklumat
yang perlu ada ialah
1.Penyataan masalah atau soalan kajian yang dikaji
2.Penyataan hipotesis yang diuji
3.Penyataan tentang pembolehubah
4.Penerangan tentang langkah-langkah penyiasatan yang dijalankan
5.Jadual untuk merekod bacaan termasuk bilangan penyiasatan yang dijalankan
6.Graf jika berkaitan
7.Penyataan yang menghubungkait pembolehubah-pembolehubah
8.Perbandingan di antara dapatan eksperimen dan hipotesis untuk mengenalpasti samada
   hipotesis diterima atau disangkal.

Aktiviti
1.      
Dengan menggunakan bahan-
bahan yang dipaparkan:
1 gabus,6 keping plastik sebagai
kipas roda,1 pisau,1 lidi satay,
2 botol air mineral, salur getah dan corong
1. Bina satu roda air.
Berhati-hati semasa menggunakan
pisau untuk memotong gabus.
2. Kaji dua faktor yang mempengaruhi
 kadar pusingan roda air.


3. Nyatakan secara terperinci
semua kemahiran proses sains yang terlibat dalam eksperimen ini.                                                                                                                           











2. Dengan menggunakan bahan-bahan yang terdapat di rumah (seperti di dalam gambar rajah)
seperti tuala, plastik,pembaris panjang, bekas bulu tangkis dan guli,
Jalankan eksperimen untuk menentukan rintangan pada permukaan yang berbeza.
Nyatakan kemahiran proses yang terdapat dalam eksperimen secara terperinci.




Monday 18 April 2011

Kemahiran Membina Hipotesis

11. Kemahiran Membina Hipotesis

Takrif
         membuat generalisasi atau tekaan awal yang boleh diuji berdasarkan 
         beberapa siri pemerhatian dan inferens.


Kemahiran membina hipotesis bergantung kepada kebolehan anda dalam .....


1. membuat pemerhatian yang tepat dan menerangkannya secara terperinci atau
    merekodkan pemerhatian dalam bentuk gambar rajah, jadual dan graf.
2. mentafsir inferens dan data secara tepat
3. mengenalpasti pola, ciri-ciri sepunya dan 'trend' dalam maklumat
4. membuat penerangan tentang pemerhatian , inferens dan data
5. memberi sebab yang munasabah terhadap setiap hipotesis
6. merancang dan menjalankan eksperimen untuk setiap hipotesis
7. membanding dan membeza data yang menyokong dan tidak menyokong sesuatu
    hipotesis
8. menyemak hipotesis dengan dapatan ujikaji
9. membezakan inferens daripada hipotesis

Bila dan mengapa perlu membina hipotesis?
1.Hipotesis dibina sebelum penyiasatan atau eksperimen.
2.Hipotesis membimbing pelajar dalam menentukan data yang akan dikumpul dalam
   eksperimen.
3.Hipotesis yang boleh diuji membantu pelajar merancang eksperimen, iaitu dalam
   merancang prosedur eksperimen, alat komunikasi yang akan digunakan dan cara
   bagaimana menganalisis data.
4.Kemahiran berfikir secara kritis diterap semasa menentukan perkaitan antara
   pembolehubah.
5.Hipotesis menjadi panduan semasa langkah membuat kesimpulan logikal di akhir
   eksperimen

Bagaimana membina hipotesis?
Kenal pasti pembolehubah yang dimanipulasi, pembolehubah bergerak balas
dan pembolehubah malar
Tulis satu penyataan spesifik yang menghubungkait antara pembolehubah yang
dimanipulasi dan pembolehubah bergerak balas. Perlu nyatakan bagaimana
pembolehubah yang pertama mempengaruhi pembolehubah kedua.

Contoh hipotesis yang dibina berdasarkan pemerhatian

Anda pernah memerhati bahawa gula pasir larut lebih cepat di dalam air panas
berbanding air sejuk. Daripada pemerhatian tersebut anda mungkin membina hipotesis,

"Semua bahan yang larut dalam air akan melarut lebih cepat di dalam air panas
 berbanding air sejuk"

Hipotesis yang dibina berdasarkan pemerhatian perlu diuji berkali-kali dengan
menggunakan pelbagai bahan untuk menetusahkan hipotesis tersebut. Bahan yang
diketahui larut dalam air dimasukkan dalam bekas berisi air panas dan bekas berisi
air sejuk. Masa untuk melarut dicatat. Jika masa untuk melarut dalam air panas sama
dengan atau lebih lama daripada masa melarut di dalam air sejuk, maka hipotesis tidak
disokong  oleh dapatan eksperimen. Hipotesis perlu diubahsuai atau diganti baru seperti,

"Kebanyakan bahan yang larut dalam air akan melarut lebih cepat di dalam air panas
 berbanding air sejuk"

Contoh hipotesis yang dibina berdasarkan inferens


Sebatang paku dililit dengan dawai bergelung yang dipasang pada bekalan elektrik.
Apabila arus mengalir di dalam dawai bergelung, paku itu dapat menarik klip kertas.
Jika bilangan lilitan ditambah bilangan kertas klip yang melekat pada paku turut
bertambah. Inferens yang mungkin anda buat ialah apabila bilangan lilitan gegelung
bertambah, lebih banyak klip kertas yang ditarik oleh paku kerana kekuatan medan
elektromagnet paku juga bertambah. Hipotesis yang dapat dibina berdasarkan inferens
ialah,
"Semakin banyak lilitan gegelung semakin kuat medan elektromagnet terhasil pada paku."
Seterusnya hipotesis ini diuji untuk mendapatkan data yang akan menyokong atau
menyangkal hipotesis tersebut.

Bagaimana menilai hipotesis anda?

Bandingkan hasil eksperimen dengan hipotesis yang dibina.Jika dapatan eksperimen
menyokong hipotesis, maka hipotesis itu boleh diterima. Jika sebaliknya hipotesis
tersebut perlu diubahsuai atau diganti dengan yang baru.

Aktiviti

Anda dikehendaki menyiasat faktor-faktor yang mempengaruhi masa untuk memasak
kentang. Beri empat faktor dan bagi setiap faktor bina hipotesis yang boleh anda uji.

Kemahiran Mendefinisi Secara Operasi

10. Kemahiran mendefinasi secara operasi

Takrif
          memberi takrifan kepada pembolehubah dengan memerihalkan secara 
spesifik dan jelas tentang cara untuk memerhati dan mengukur perubahan yang
berlaku ke atas pembolehubah itu.


Untuk menentukan pembolehubah yang akan anda definisi secara operasi, anda perlu
menyoal, "Adakah terdapat alat pengukur untuk mengukur perubahan ke atas
pembolehubah ini?" Jika tidak ada alatan yang khusus, pembolehubah itu perlu didefinisi
secara operasi. Kemahiran mendefinisi secara operasi boleh digunakan untuk
pembolehubah yang dimanipulasi atau pembolehubah yang bergerak balas. Definisi yang
diberi boleh berbeza antara seorang pengkaji dengan pengkaji lain walaupun mereka
merujuk kepada pembolehubah yang sama.

Contoh
Mendefinisi secara operasi "pertumbuhan anak pokok"
Anda boleh mendefinisinya sebagai .........

1.Ketinggian anak pokok iaitu jarak dari aras tanah ke pucuk daun yang tinggi sekali.
   Anda perlu menggunakan pembaris meter atau pita pengukur untuk mengukur
   ketinggian tersebut setiap lima balas hari. Perbezaan ukuran akan mewakili
   pertumbuhan anak pokok.
                                                              atau
2.Bilangan daun pada anak pokok. Anda perlu mengira jumlah daun yang terdapat pada
   pokok itu selepas setiap dua minggu. Penambahan bilangan daun menunjukkan terdapat
   pertumbuhan pada anak pokok.
                                                               atau
3.Ukurlilit batang pokok. Anda perlu menandakan batang pokok yang hendak diukur.
   Dengan menggunakan pita pengukur atau benang dan pembaris, anda boleh
   mendapatkan ukurlilit batang pada bahagian yang bertanda selepas dua minggu.
   Anak pokok mengalami pertumbuhan jika ukurlilit bertambah.
                                                                atau
4.Jisim anak pokok dan pasu. Anda boleh menggunakan neraca alur tigaan atau
   penimbang elektronik untuk menimbang anak pokok dan pasu pada masa
   awal eksperimen. Selepas sebulan anak pokok dan pasu ditimbang semula. Jika
   terdapat perbezaan jisim ini bermakna anak pokok telah mengalami proses
   pertumbuhan.

Aktiviti
Anda dikehendaki memberi definisi secara operasi kepada
1. kadar penyejatan air
2. bahan yang larut dalam air

Kemahiran Mengawal Pembolehubah

9. Kemahiran Mengawal Pembolehubah

Takrif
         mengenal pasti dan mengendali semua faktor atau pembolehubah yang boleh 
memberi kesan kepada hasil eksperimen. Hanya satu pembolehubah sahaja yang 
diubah secara sistematik sepanjang eksperimen sementara pembolehubah lain ditetapkan untuk
 menjamin kebolehpercayaan keputusan eksperimen


Tiga jenis pembolehubah:
1. Pembolehubah yang dimanipulasi atau pembolehubah tidak bersandar - pembolehubah
    yang sengaja diubah secara sistematik untuk menghasilkan perubahan kepada
    pembolehubah lain.
2. Pembolehubah bergerak balas atau pembolehubah bersandar - pembolehubah yang
    berubah akibat daripada perubahan pada pembolehubah lain. Pembolehubah ini
    diperhatikan sepanjang eksperimen.
3. Pembolehubah malar atau pembolehubah tetap - pembolehubah yang dikekalkan tanpa
    sebarang perubahan sepanjang eksperimen. Pembolehubah ini boleh mempengaruhi
    pembolehubah bergerak balas tetapi ditetapkan nilai atau keadaannya supaya
    kesannya ke atas semua percubaan ujian adalah sama dan boleh diabaikan. Oleh itu
    ahli sains hanya mengkaji hubungan di antara pembolehubah yang dimanipulasi dan
    pembolehubah bergerak balas.

Pembolehubah perlu dikenalpasti sebelum memulakan eksperimen supaya anda dapat
menentukan .......
apa yang akan diukur atau diubah / pembolehubah manipulasi)
bagaimana mengukur pembolehubah manipulasi
apakah yang akan diperhatikan dalam eksperimen / pembolehubah bergerak balas
bagaimana mengukur pembolehubah bergerak balas
apakah faktor-faktor yang dikekalkan sepanjang eksperimen

Contoh
Sebuah elektromagnet dapat menarik lebih banyak klip kertas jika bilangan sel kering
bertambah di dalam litar. Bilangan sel kering boleh diubah untuk menentukan kesannya
kepada elektromagnet.
Pembolehubah yang dimanipulasi : bilangan sel kering dalam litar
Pembolehubah bergerak balas     : bilangan klip kertas yang tertarik kepada
                                                   elektromagnet
Pembolehubah malar                   : jenis bateri, saiz dan panjang dawai, jenis litar, saiz
                                                   dan jenis klip kertas, prosedur untuk menarik klip
                                                    kertas

Aktiviti
Anda dikehendaki mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi kadar penyejatan air.
Berikan empat pembolehubah yang dimanipulasi dan terangkan bagaimana ia
mempengaruhi pembolehubah yang bergerak balas



  

Kemahiran Menggunakan Perhubungan Ruang dan Masa

8. Kemahiran Menggunakan Perhubungan Ruang dan Masa

Takrif
            Menghuraikan  perubahan parameter dengan masa. Contoh parameter seperti lokasi,arah, bentuk, saiz, isipadu, berat dan jisim.

contoh
            Amin meletakkan ais ke dalam bekas dan suhu ais diukur setiap 5 minit. Amin merekodkan Pemerhatian di dalam jadual 1.

                                 
                                                                     Jadual 1

Huraikan hubungan antara suhu dengan masa. Buat kesimpulan berdasarkan keputusan.

Saturday 16 April 2011

Kemahiran Mentafsir Maklumat

7. Kemahiran Mentafsir Maklumat

Takrif
          memberi penerangan  tentang pola/ perhubungan berdasarkan maklumat yang 
dikumpul atau memperihal secara bermakna tentang pemerhatian yang telah dibuat

Secara umumnya, perihalkan maklumat yang tersurat dan cari maksud yang tersirat.

Masihkah  anda ingat dengan dua jadual di bawah ini?





Soalan yang perlu dicari jawapannya...
Apakah yang diwakili oleh setiap lajur?
Apakah kecenderungan menurun setiap lajur?
Apakah perkaitan antara lajur-lajur tersebut?

Kemahiran Berkomunikasi

6. Kemahiran Berkomunikasi


Takrif
           memindahkan maklumat atau idea kepada orang lain melalui lisan dan tulisan 
seperti teks, gambar rajah, peta, graf, persamaan matematik, jadual dan lain-lain.

Jika anda  mendapati diri anda sedang menerima maklumat atau menyebarkan maklumat, atau berkongsi maklumat maka anda sedang berkomunikasi.


Anda juga berkomunikasi apabila anda dapati berada dalam suasana.......
berkata-kata, mendengar atau menulis untuk menyampai idea atau sesuatu maksud.
merekod hasil dapatan sesuatu penyelidikan.
melukis dan mengambil nota.
menjelaskan sesuatu dengan menggunakan simbol.
menggunakan carta ,graf dan jadual untuk menyampai maklumat.
menyoal dengan jelas.
menggunakan rujukan.
menulis laporan eksperimen supaya orang lain dapat membaca dan mencubanya.
Alat-alat komunikasi yang boleh anda guna untuk menjelaskan atau menghuraikan  sesuatu tindakan, objek atau peristiwa ditunjukkan dalam  Jadual 1.





Jadual 1

Contoh

Perihalkan A, B ,C dan D..
Alat komunikasi  bagi A adalah simbol, B adalah carta ,C pula jadual manakala D adalah graf

Aktiviti.
            Anda cuba menenggelamkan satu objek ke dalam air seperti ditunjukkan dalam gambar di bawah. Apakah yang akan berlaku jika anda menarik tangan keluar. Ulang langkah ini dengan menggunakan objek seperti dalam senarai. Rekod pemerhatian menggunakan grafik yang sesuai. Objek yang disenarai seperti  span(sponge), duit syiling, belon, kain towel dan botol plastik kosong bertutup.


Kemahiran Meramal

5. Kemahiran meramal
    
Takrif
             Membuat jangkaan terhadap sesuatu peristiwa yang akan berlaku berdasarkan
pengetahuan sedia ada melalui pengalaman atau berdasarkan maklumat yang dikumpul   daripada     pemerhatian atau inferens .


Anda menggunakan kemahiran meramal apabila anda...
menggunakan maklumat semasa dan yang telah lepas untuk menjangka apa yang mendatang.
boleh membezakan antara meramal dan meneka.
dapat menjangka kesan akibat daripada tindakan yang diambil.
mengesan pola-pola untuk menjangka yang seterusnya.
yakin dengan ketepatan jangkaan yang dibuat.
dapat menjangka dan menghuraikan kejadian yang akan berlaku berdasarkan bukti dan
kejadian lampau.

berhati-hati dalam membuat andaian menjangkau bukti yang ada hanya berdasarkan pola-pola data.
mengekstrapolasi sebagai alat untuk mendapatkan data dalam meramal.

Anda perlu menguasai kemahiran meramal kerana kemahiran ini membolehkan anda membuat keputusan yang tepat  dalam ....
mengurangkan bilangan pilihan.
merancang .
membincangkan pilihan-pilhan yang mungkin.

Anda sedang meramal jika anda...
memerhati untuk mengumpul maklumat.
mengenal pasti pola-pola pada maklumat yang terkumpul.
menggunakan pola atau pengalaman lepas untuk menjangka apa yang akan terjadi.


Perhatikan contoh contoh berikut:
      
1.       Apakah yang anda jangka akan terjadi?


Kemungkinan yang akan berlaku:
i.   Tembakan tepat mengena sasaran
ii.   Tembakan tersasar


Cuba anda jelaskan.


2. 
Kenyataan di atas adalah satu contoh pemerhatian. Apakah yang anda ramalkan akan terhasil?
Mungkin pelangi akan terhasil

Aktiviti.

Sekumpulan pelajar menjalankan satu eksperimen menggunakan sistem takal seperti dalam gambar di bawah.


Keputusan yang mereka perolehi dicatatkan ke dalam Jadual 1

Jadual 1
Sekiranya jarak daya 27 cm. Ramalkan jarak beban.

Thursday 14 April 2011

Aktiviti Lanjutan 1

Aktiviti lanjutan







Uji bahan-bahan tersebut dan bahan-bahan gunaan harian yang lain dengan indikator.
Apakah kemahiran sains yang terlibat dalam aktiviti ini.

Lihat kedua -dua gambar ini,
Apakah perkaitan gambar -gambar ini dengan aktiviti di atas?




Kemahiran Membuat Inferens

4. Kemahiran membuat inferens

Takrif
          Membuat kesimpulan awal yang logik , yang mungkin benar atau tidak benar untuk menerangkan sesuatu pemerhatian, fenomena, kejadian atau peristiwa.Biasanya kesimpulan awal ini, dibuat berdasarkan pengalaman yang lalu.

Anda perlu menguasai kemahiran ini supaya anda boleh...
membuat penerangan awal untuk sesuatu pemerhatian.
membina satu hipotesis untuk penyiasatan
mengguna bukti-bukti yang ada untuk membuat penerangan awal.
melalui proses pemikiran semasa hendak menerangkan  sesuatu pemerhatian.

Anda sedang menginferens apabila.....
cuba membuat kesimpulan awal tentang pemerhatian.
membuat satu kesimpulan daripada sesuatu data.
membuat kesimpulan daripada sesuatu maklumat.
membuat satu tanggapan awal.
mencari jawapan kepada soalan yang bermula dengan ;
      Mengapakah .....?,  Bagaimanakah...?  Nyatakan sebab...


Aktiviti 1: Sekumpulan murid darjah lima sedang menjalankan projek mengkaji kesan penggunaan baja terhadap pertumbuhan pokok. Ketinggian pokok dan banyaknya baja yang diguna telah direkod dalam jadual 1.

Jadual 1 
Apakah inferens yang boleh anda buat?

Aktiviti 2
                  Perhatikan kedua-dua gambar di bawah. Apakah inferens yang boleh anda buat?




Kemahiran Mengukur dan Menggunakan Nombor

3. Kemahiran mengukur dan menggunakan nombor

Takrif
          Kemahiran yang melibatkan penggunaan nombor dalam pengukuran semasa membuat pemerhatian kuantitatif. Kebolehan mengguna nombor dan unit-unit pengukuran yang tepat adalah penting dalam mengukur atau menyukat.

Adalah penting bagi anda menguasai kemahiran ini. Penguasaan kemahiran ini membolehkan anda.....
mengguna alat ukuran yang tepat.
menganggar jarak, luas dan isipadu dalam situasi dalam situasi yang memerlukannya.
membuat ramalan atau inferens dengan lebih tepat.
memperkembangkan kemahiran mengira.
menggunakannya dalam kemahiran proses yang lain.
membiasakan diri dengan ukuran-ukuran am yang digunakan dalam kehidupan seharian.

Anda sedang mengguna kemahiran ini apabila anda......
mengguna alat pengukur.
mengguna nombor untuk merekod ukuran dan fenomena.
mencatat bacaan yang diambil.
mencatat unit bagi ukuran yang dibuat.
membuat pengiraan berdasarkan bacaan yang diperolehi.
mengguna skala dan nisbah.

Aktiviti: Perhatikan objek-objek yang terdapat di rumah anda . Bolehkah objek-objek itu membantu anda mengukur? Jika boleh, apakah objek itu ? Apakah yang boleh diukurnya? Cuba namakan alat yang terdapat di bilik sains atau makmal sains yang mempunyai fungsi yang sama.

Kemahiran Mengelas

2. Kemahiran Mengelas

Takrif
           Mengasing dan mengumpulkan objek atau fenomena kepada kumpulan masing-masing berdasarkan kriteria tertentu seperti ciri, kualiti atau sifat sepunya.

Penguasaan kemahiran ini membolehkan anda....
menyusun sesuatu mengikut peraturan umum.
belajar sesuatu yang baru dengan mudah hanya dengan membandingkan ciri-cirinya dengan pengelasan yang sedia ada.
menyedari bahawa pelbagai cara boleh digunakan untuk mengelas sesuatu objek atau peristiwa.
menyedari bahawa pengelasan menjadikan kefahaman tentang sesuatu lebih tersusun.

Anda sedang mengenalpasti ciri-ciri sepunya jika anda.......
memberi ciri-ciri objek atau item.
mendapatkan ciri-ciri objek atau item.
menyenaraikan ciri-ciri objek atau item.
menentukan ciri-ciri objek atau item.

Anda sedang membuat pengelasan ciri-ciri apabila anda.....
mengumpul ciri-ciri mengikut kategori.
mencari persamaan dan perbezaan berdasarkan ciri-ciri objek atau item.
mengkaji ciri-ciri sepunya pada objek atau item.
menyusun objek atau item mengikut kumpulan.
membahagikan objek atau item dalam kumpulan kecil berdasarkan ciri-ciri yang sama.
mencari perkaitan antara ciri-ciri objek atau item.
mengkaji perkaitan antara ciri-ciri atau item.

Jadual berkala adalah satu contoh pengelasan unsur-unsur. Adakah anda masih ingat bagaimana unsur-unsur itu tersusun?

Aktiviti 1:
                                                              Gambar rajah 1
Dapatkah anda mengesan berapa pengelasan yang terdapat dalam Gambar rajah 1? nyatakan dan hurai pengelasan tersebut.

Aktiviti 2: Kenal pasti objek-objek di sekeliling anda. Adakah ia sejenis mesin ringkas? Buat pengelasan mesin ringkas merujuk kepada objek-objek berkenaan.

Kemahiran Memerhati

1. Kemahiran memerhati

Definisi
           Memerhati adalah proses mengumpul maklumat tentang objek atau fenomena dengan menggunakan sebahagian atau semua lima deria. Instrumen atau alat boleh digunakan dalam membantu deria. Pengetahuan dan pengalaman lepas memainkan peranan dalam membuat pemerhatian yang teliti.

Pemerhatian boleh dibahagikan kepada tiga:
i)   Pemerhatian kualitatif melibatkan deria sahaja. Pemerhatian ini direkodkan sebelum, semasa dan selepas aktiviti dilaksanakan. Pemerhatian berdasarkan ke atas  ciri-ciri dan sifat-sifat objek atau fenomena seperti warna, tekstur, bau, bentuk, berat, isipadu atau suhu.
ii)   Pemerhatian kuantitatif melibatkan pengumpulan maklumat yang lebih tepat dengan menggunakan instrumen untuk mengukur atau menyukat.
iii)  Pemerhatian perubahan pula memerhati perubahan yang berlaku khasnya berkaitan dengan fenomena yang mengalami perubahan fizikal atau kimia. Perubahan ini boleh diperhatikan secara kualitatif dan kuantitatif.

Penguasaan kemahiran ini penting bagi anda kerana:
boleh meningkatkan perasaan ingin tahu anda.
meransangkan pemikiran anda.
anda boleh mentafsir tentang persekitaran .
boleh mendorong anda kepada penyiasatan selanjutnya

Anda sedang menggunakan kemahiran memerhati jika:
menggunakan pelbagai deria untuk memperolehi maklumat.
menggunakan instrumen  atau alat yang sesuai untuk membantu deria membuat pemerhatian terperinci.
membuat perbandingan.
mengesan perbezaan dan persamaan.
mengenal pasti ciri-ciri kelainan atau yang istimewa.
mengenal pasti ketertiban atau urutan fenomena yang berlaku.
menyedari perubahan yang berlaku di sekeliling.
memilih butiran yang relevan daripada banyak atau pelbagai maklumat.


Aktiviti:  Perihalkan sebanyak mungkin sehelai daun dan beberapa helai daun.
              Perihalkan pembakaran sebatang lilin.